September 20, 2024

PETALING JAYA: Pelantikan jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mungkin mengambil masa hampir dua bulan, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan berkata, Kementerian Kewangan menunggu arahan Jemaah Menteri seterusnya (mengenai) bilakah jawatan itu akan diisi semula.

Katanya, pelantikan jawatan itu perlu dilakukan secara teliti, berhemah dan tidak tergesa-gesa, lapor Bernama.

Ahmad berkata, setakat ini operasi syarikat terutama GLC seperti di bawah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) tidak terjejas berikutan pentadbiran harian dijalankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), eksekutif kanan dan pegawai lain.

“Jadi kita menunggu arahan Jemaah Menteri seterusnya (mengenai) bilakah jawatan itu akan diisi semula.

“Saya tahu bahawa di bawah MKD memang ada banyak syarikat yang terlibat dan peletakan jawatan itu telah dilakukan oleh pelbagai pihak, pelbagai parti,” katanya yang dipetik Bernama.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat GLC dan badan kerajaan lain.

Pada 14 Dis lalu, kerajaan menamatkan semua lantikan ahli politik dalam GLC dan badan kerajaan serta merta.

Pada minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata lantikan yang melibatkan MKD dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mahu melakukan penyelarasan untuk kesemua pelantikan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *