December 18, 2024


“Bukan aku tidak sayangkan Caesar tapi aku lebih cintakan Rom”, ungkapan ini diterjemahkan kononnya untuk menunjukkan taat setia kepada parti sehingga sanggup mengorbankan pemimpin sendiri yang banyak jasa.

Pada hakikatnya kata-kata tersebut biasanya akan digunakan oleh kumpulan yang berkepentingan peribadi apabila wujudnya gerakan yang mempunyai niat untuk melawan pucuk pimpinan. Pelbagai alasan digunakan dan akhirnya ayat tersebut dijaja untuk mendoktrin supaya dapat mempengaruhi ahli bagi meraih sokongan.

Ungkapan tersebut juga merupakan gerakan menghalalkan cara untuk menjatuhkan Presiden. Ahli dihasut kononnya parti lebih utama sedangkan institusi presiden dan parti berkedudukan saling berkait dan akan terpisah apabila presiden sudah hilang kelayakan berdasarkan perlembagaan dan peruntukan parti, bukannya kerana hasutan kumpulan yang berkepentingan serta mencari jalan mudah untuk menduduki jawatan utama parti.

Keabsahan Presiden UMNO datangnya dari akar umbi yang memilih melalui proses demokrasi yang sentiasa subur dan kedudukan tersebut sah berlaku sehingga habis penggal yang ditetapkan tarikhnya oleh peruntukan khas di dalam parti sesuai dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan perwakilan yang diberikan amanah.

Sebagai sebuah parti yang terbesar di negara ini dan juga parti yang paling berstruktur, UMNO tidak lahir melalui proses keretakan dan perpecahan sesama sendiri. UMNO lahir ketika bumi bertuah ini sedang berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan negara. UMNO lahir dengan matlamat yang cukup besar iaitu menjaga kepentingan Islam, orang Melayu dan kaum bumiputra dengan tidak mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain.

Justeru UMNO memerlukan seorang Presiden yang berfikiran matang, bijaksana mengatur dan mengawal parti dan tegas membuat keputusan demi melindungi parti yang begitu besar jasanya kepada negara.

UMNO bukan barang dagangan untuk ditawarkan kepada pihak yang akan meracik-racik, “pecah dan perintah” serta sebagai alas kaki untuk pihak musuh dengan mudah menguburkan UMNO.

Tawaran bekerjasama berbeza dengan diserahkan kepada musuh untuk dikorbankan.

Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan yang penting bagi sebuah perjalanan UMNO dan perjalanan tersebut masih panjang yang bakal diwarisi oleh generasi seterusnya.

Selagi tiada sifat hormat dan percaya kepada Presiden parti, UMNO amat sukar untuk bangkit. Selagi wujudnya geng broker, macai, musang berwajah ayam dan kumpulan melontar batu ke rumah cermin sendiri, UMNO akan melalui episod kepayahan untuk menarik kembali keyakinan rakyat.

Tiada ruang untuk kumpulan musang ini. Tiada ruang lagi untuk UMNO berikan kepada mereka yang berkepentingan peribadi yang sanggup menjadi barua kepada musuh politik UMNO.

2 thoughts on “Hormat Presiden, setia kepada parti, Formula kuatkan UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *