WTC: Mendesak Presiden UMNO Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah jalan mudah untuk menguasai parti. Gerakan terancang ini bermula dari Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan beberapa pemimpin UMNO dan komponen BN dilantik menjadi menteri kanan, menteri dan timbalan menteri.
Menggunakan alasan Presiden UMNO sedang menghadapi kes di mahkamah dan ini boleh merosakkan nama UMNO dan BN. Pihak musuh lancarkan serangan bernaratif menghina kedudukan Zahid dengan pelbagai hinaan dan gelaran dan di waktu yang sama kerja broker politik menghasut ahli parti untuk mendesak Presiden mengundur diri. Di samping itu ahli dikelirukan dan disibukkan dengan kecelaruan antara pemilihan parti dan pembubaran parlimen. Melihat kepada motif serangan, kumpulan broker ini berfikiran mereka akan mendapat laba politik sekiranya berjaya mendesak Presiden meletak jawatan atau pemilihan parti berlaku sebelum pembubaran parlimen malah lebih ekstrim, mereka sanggup merancang supaya UMNO dan BN kalah di pilihanraya umum ke 15. Sekiranya kalah maka peluang untuk mendesak Presiden mengundur diri lebih luas dan ahli bakal menyokong desakan gerakan broker ini.
Gerakan menjatuhkan Presiden ini tersusun dan melibatkan peringkat tertinggi parti dengan kelebihan sumber kewangan yang banyak. Menurut sumber terdapat ketua bahagian UMNO yang mendapat imbuhan bulanan berjumlah 5 angka?
Fokus utama kumpulan broker politik ini adalah bernaung di bawah Perikatan Nasional dengan hanya memenangi tidak kurang dari 10 kerusi parlimen dan memusatkan juga perhatian untuk mengalahkan kesemua calon BN yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden dan akhirnya ahli UMNO boleh melihat siapa yang kalah dan hampir kalah.
Tidak dapat dibayangkan dan tidak terjangka, ketika kempen pilihanraya ada calon BN menyerang Presiden parti dan UMNO itu sendiri dan begitu terbuka menyampaikan hasratnya untuk menjadi Presiden UMNO selepas PRU ke 15. Mereka yang tidak tercalon turut memainkan peranan menyerang Presiden dan parti dengan memperlekehkan keputusan pemilihan calon pada waktu itu.
Usaha geng broker tidak terhenti dengan keputusan pilihanraya umum sahaja. Kemuncaknya serangan dan desakan supaya Presiden meletakkan jawatan adalah apabila beberapa kepimpinan utama dengan secara terbuka meminta Presiden berundur dengan menggunakan alasan kekalahan teruk pada pilihanraya itu termasuk bertindak melepaskan jawatan. Paling berani adalah tindakan membawa 10 ahli parlimen kepada Muhyiddin dan apabila terkantoi, pemimpin tersebut membuat kenyataan sanggup dipecat oleh parti.
Segala perancangan tidak menjadi kerana Zahid lebih sayangkan UMNO. Keputusan untuk menjadi pembangkang adalah kemuncak mematikan langkah kumpulan broker. Dan akhirnya hasrat kumpulan broker ini gagal sepenuhnya apabila Presiden UMNO akur dengan kehendak YDPA supaya bersama di dalam kerajaan perpaduan ini.
Kini, geng broker mula bermain sentimen bahawa Zahid akan memecat mereka. Berani buat maka berani tanggung. Musang semenangnya tidak boleh sekandang dengan ayam.
Sudah ada yang dipecat kerana terbukti tindakan mensabotaj UMNO dan BN dari dalam.