November 16, 2024

Mahkamah Tinggi Nepal memerintahkan pembebasan dan pengusiran pembunuh bersiri warga Perancis, Charles Sobhraj.

Kisah Sobhraj digambarkan dalam siri Netflix, The Serpent yang bertanggungjawab ke atas siri pembunuhan di seluruh Asia pada 1970-an.

Mahkamah Agung memutuskan Sobhraj, 78, yang dipenjarakan di negara republik di Himalaya itu sejak 2003 kerana membunuh dua pelancong Amerika Utara, harus dibebaskan atas alasan kesihatan.

“Menghukumnya di penjara secara berterusan tidak selaras dengan hak asasi manusia.


“Jika tidak ada kes lain yang belum selesai terhadapnya untuk menahannya di penjara, mahkamah ini memerintahkan pembebasannya selewat-lewatnya hari ini dan… pulang ke negaranya dalam tempoh 15 hari, ” katanya berdasarkan salinan penghakiman.

Menurut keputusan itu, Sobhraj memerlukan pembedahan jantung dan pembebasannya adalah selaras dengan undang-undang yang membenarkan pembebasan belas ihsan terhadap banduan terlantar yang sudah menjalani tiga perempat daripada hukuman mereka.

Pembunuh terkenal itu menjalani pembedahan jantung selama lima jam pada 2017 dan keputusan itu berkata, dia masih mendapatkan rawatan biasa untuk penyakit jantung.

Sementara itu, seorang pegawai penjara berkata, Sobhraj mungkin akan dibebaskan dari Penjara Pusat Kathmandu, hari ini.

“Sobhraj terlebih dahulu perlu hadir di Mahkamah Rendah untuk urusan pentadbiran sebelum dibebaskan,” katanya.

Sobhraj mula mengembara ke seluruh dunia pada awal 1970-an sebelum mengakhiri pengembaraan di Bangkok.

Dia melalui zaman kanak-kanak yang bermasalah dan beberapa hukuman penjara di Perancis kerana jenayah kecil.

Modus operandinya adalah untuk menawan dan berkawan dengan mangsanya.

Pembunuhan pertamanya membabitkan mangsa seorang wanita muda Amerika yang mayatnya ditemukan di pantai Pattaya pada 1975.

Sobhraj dikaitkan dengan lebih 20 pembunuhan.

Dia ditahan di India pada tahun 1976 dan akhirnya menghabiskan 21 tahun di penjara di sana, sebelum melarikan diri pada 1986 dan ditangkap sekali lagi di Goa, India.

Sobhraj dibebaskan pada 1997 dan kemudian menetap di Paris tetapi muncul semula pada 2003 di Nepal, di mana dia dikesan di daerah pelancongan Kathmandu dan ditangkap.

Mahkamah di sana menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun berikutnya kerana membunuh pelancong Amerika Syarikat, Connie Jo Bronzich, pada 1975.

Sedekad kemudian, dia juga didapati bersalah membunuh teman kepada Bronzich, dari Kanada.

Ketika menjalani hukuman penjara pada 2008, Sobhraj pernah berkahwin dengan Nihita Biswas, berusia 44 tahun lebih muda daripadanya yang juga anak kepada peguam di Nepal, yang membela kesnya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *