December 18, 2024

MUSANG BERBULU AYAM, broker politik, gunting dalam lipatan, kuda trojan dan pelbagai lagi gelaran bagi kelompok atau individu yang kecondongan dan kecenderungan politiknya berdasarkan “pay-master” dan yang hanya mengikut tanpa menyelidik akan kebenaran sesuatu isu yang ditimbulkan.

Rasa terhutang budi setelah menerima imbuhan di atas sokongan yang diberikan kepada pihak tertentu atau yang mempunyai kepentingan peribadi menyebabkan mereka akan kecewa apabila segala perancangan tidak seperti yang diharapkan. Politik membunuh sesama sendiri tidak akan bertahan lama malah akan merosakkan partinya sendiri, cepat atau lambat.

Mereka sengaja menyebarkan kononnya Presiden yang bersalah apabila keputusan pilihanraya tidak memihak kepada parti. Kalau parti menang, kumpulan ini juga tidak akan memuji Presiden sebaliknya akan memberi pujian dan penghargaan melangit kepada pihak yang didokongnya. Bagi kumpulan broker politik ini, apa sahaja keputusan akan menguntungkan mereka. Jika UMNO dan BN kalah, mereka berharap dapat membentuk kerajaan bersama Muhyiddin dan kelompok mereka bakal berada di dalam kerajaan dan sekiranya UMNO dan BN menang, kumpulan mereka juga akan menguasai kerajaan. Tetapi apa yang mereka harapkan tidak kesampaian, Presiden UMNO, DS Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu mengatur langkah selamatkan UMNO dan BN. Setiap calon BN diwajibkan tandatangan SD sebelum menerima watikah adalah langkah terbaik Presiden untuk menjamin supaya UMNO dan BN tidak dijual dengan mudah walaupun ada juga cubaan daripada 10 orang ahli parlimen yang tanpa rasa malu tunduk menyokong kepada Muhyiddin dan akhirnya berpatah balik.

Ahli UMNO seharusnya tahu bahawa pemilihan calon bukan semata-mata keputusan seorang diri iaitu Presiden parti sahaja.

Nama calon-calon yang dicadangkan datangnya dari bahagian UMNO dan BN mengikut parlimen masing-masing.

Sekurangnya lima nama diberikan dan dibawa ke peringkat jawatan kuasa politik peringkat pusat yang terkandung anggota di dalamnya adalah di Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden. Setelah timbang tara dibuat dengan teliti maka jawatan kuasa tersebut akan putuskan calon yang bakal mewakili parti masing-masing. Selaku Pengerusi BN, DS Zahid meneruskan tradisi BN sejak dahulu iaitu komponan BN membawa senarai terakhir calon masing-masing.

Bagi UMNO pula Presiden juga mengambil kira peratusan kuota wanita dan orang muda seperti yang disuarakan oleh majoriti perwakilan UMNO itu sendiri bagi melihat dan merealisasikan keremajaan UMNO itu sendiri.

Kali ini UMNO dan BN melakar sejarah, Poster Boy bukannya Presiden parti seperti sejak UMNO ditubuhkan. Ismail Sabri menjadi Poster Boy yang juga calon UMNO dan BN sebagai Perdana Menteri ke-10 sekiranya Barisan Nasional menang pilihanraya umum ke-15. Ismail Sabri ketika itu adalah Perdan Menteri ke-9 dan sepatutnya menjadi daya tarikan kepada kembalinya keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN setelah lebih setahun menjadi PM. Sepatutnya siri kejayaan beliau sewaktu menjawat jawatan tersebut antara faktor utama rakyat memilih BN tetapi tidak berlaku.

Keputusan melantik Ismail Sabri sebagai Poster Boy juga melalui proses persetujuan bukan dari DS Zahid seorang diri.

Persoalan yang sepatutnya ahli UMNO dan BN lontarkan adalah bagaimana nasib UMNO dan BN sekiranya hanya 10 orang daripada 30 wakil rakyat parlimen BN bersama Muhyiddin membentuk kerajaan ketika itu? Adakah kerajaan tersebut tidak memerlukan kesemua wakil rakyat UMNO dan BN di dalam kerajaannya atau hanya mengira angka kecukupan melepasi syarat majoriti mudah sahaja iaitu 112 ahli parlimen? Selepas Muhyiddin menubuhkan kerajaan, apa nasib UMNO dan BN?

Bagi Muhyiddin, tindakannya lebih kepada memecahbelahkan UMNO dan BN malah Muhyiddin cukup tinggi egonya kerana menggunakan Hishammuddin sebagai broker politiknya dan tidak seperti Anwar yang sanggup merendah diri bertemu dengan kesemua ahli parlimen BN termasuk Presiden UMNO. Hina sangatkah DS Zahid di mata Muhyiddin?

Cukup-cukuplah usaha merosakkan UMNO BN dari dalam. Keputusan memilih calon bukannya keputusan Presiden seorang diri. Keputusan dibuat secara konsensus sebagai keluarga besar BN.

Kalau semua calon tersebut datangnya dari Presiden seorang maka tidak akan terjadi peristiwa 10 orang ahli parlimen BN lari kepada Muhyiddin.

UMNO dan BN seharusnya belajar dari kesilapan pilihanraya umum ini dan bukannya menjadikan keputusan pilihanraya sebagai alat untuk menghukum Presiden parti sendiri.

Ahli UMNO mudah terpedaya dengan fitnah dan mehnah pihak musuh dan dibantu oleh kumpulan broker politik dalam usaha memburukkan parti dan presiden sendiri.

Move on!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *