December 18, 2024

Mike Tyson (kiri) dan bapanya (kanan) bersama DJ Khaled (tengah) menunaikan umrah di Makkah, Arab Saudi baru-baru ini. - djkhaled/Instagram

RIYADH: Legenda tinju, Mike Tyson menunaikan ibadah umrah di Makkah, Arab Saudi baru-baru ini.

Tyson, 50, mengerjakan umrah itu bersama DJ Khaled atau nama sebenarnya ialah Khaled Mohammed Khaled, yang juga seorang penyanyi rap Amerika Syarikat (AS).

Kedua-duanya berada di Arab Saudi untuk menghadiri Festival Filem Laut Merah, dan selepas acara itu, mereka melawat Kaabah untuk menunaikan ibadah.

DJ Khaled berkongsi video penuh emosi dirinya di depan Kaabah. Dalam klip pendek itu, penyanyi rap berusia 47 tahun itu memakai Ihram, iaitu pakaian ringkas putih dua helai yang dipakai oleh lelaki semasa mengerjakan umrah.


DJ Khaled menulis di Instagram: “Ketika saya berjalan di Makkah, air mata saya jatuh. Air mata kegembiraan. Sepanjang hidup saya, saya ingin pergi ke Makkah untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah.

“Saya berdoa untuk dunia, untuk lebih banyak kasih sayang, lebih banyak kehidupan, lebih banyak keamanan, lebih banyak kegembiraan, lebih banyak kebahagiaan, lebih banyak kesihatan dan perlindungan untuk kita semua! Allah maha hebat!”

Khaled turut berkongsi beberapa gambar dengan Tyson, yang dilaporkan memeluk Islam pada 1992 ketika dia menghabiskan masa di penjara selepas didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan termasuk merogol dan dipenjarakan selama enam tahun.

“Semoga diberkati saudara saya @miketyson. Lebih cinta, lebih berkat, lebih banyak kehidupan. Allah adalah yang terhebat,” tulis DJ Khaled.

Turut sama mengerjakan ibadat itu ialah bapa Tyson. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *