December 18, 2024

Dari kiri; Datuk Seri Azalina Othman Said, Dr Zaliha Mustafa dan Fadhlina Sidek. - Foto NSTP

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas mencipta beberapa kejutan penting dalam sejarah negara.

Ia bukan sahaja menyaksikan beberapa nama besar dalam arena politik tanah air ditundukkan oleh muka baharu di “kubu” sendiri tetapi juga menghasilkan Parlimen tergantung buat kali pertama dalam sejarah negara.

Situasi itu berakhir dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) dan disokong oleh beberapa gabungan parti lawan.

Atas sebab itu jugalah kerajaan kali ini mengetengahkan beberapa nilai teras berbeza yang masing-masing diperjuangkan oleh parti politik berkenaan.


Suara Sabah dan Sarawak misalnya, dilihat lebih kuat kali ini dengan pelantikan tujuh menteri termasuk wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, iaitu kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah wakil wanita dalam barisan kabinet 28 anggota itu masih tidak memuaskan, iaitu hanya lima orang. Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana dalam sejarah negara jumlah menteri wanita pada satu-satu masa tidak pernah melebihi lima orang.

“(Inilah) hakikatnya; kita perlu akui adalah sukar (untuk mempunyai lebih ramai wanita dalam kabinet) kalau diambil kira jumlah calon wanita yang bertanding dan menang. Memang menghampakan, namun jika dilihat keadaan semasa, saya rasa ia boleh difahami,” kata Pensyarah kanan di Unit Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia, Dr Zaireeni Azmi, kepada Bernama.

Sekalipun, angka wakil wanita dalam kerajaan adalah kecil, penganalisis dan aktivis masih berpuas hati. Ini kerana tiga wanita diberi kepercayaan menerajui portfolio penting, iaitu undang-undang, kesihatan dan pendidikan.

Mereka juga berpandangan, usaha meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan politik perlu berterusan.

Dua lagi portfolio yang diterajui oleh wanita ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan.

Pemimpin wanita

Kajian mendapati, penyertaan tinggi wanita dalam pasaran buruh serta di peringkat pembuat keputusan politik membantu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Sehubungan itu, Malaysia menyatakan komitmen untuk meningkatkan jumlah pemimpin wanita dalam semua sektor, namun buat masa ini usaha itu memberikan hasil yang pelbagai.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi kaum hawa mengatasi lelaki dalam pendidikan serta hampir setara dari segi akses penjagaan kesihatan, namun mereka ketinggalan dalam pasaran tenaga kerja.

Golongan wanita juga jauh ketinggalan di peringkat pembuat keputusan politik sekalipun mereka mewakili sekitar 50 peratus daripada populasi negara.

Keputusan PRU15 juga tidak memberangsangkan dengan hanya 31 wanita diundi ke Dewan Rakyat, iaitu 13.9 peratus daripada keseluruhan 222 ahli.

Angka itu sebenarnya merosot berbanding PRU14 yang menyaksikan 33 wanita dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat. Pada PRU15, seramai 127 wanita bertanding untuk kerusi Parlimen daripada keseluruhan 945 calon.

Sasaran ialah 30 peratus wanita di Parlimen bagi membolehkan suara kaum hawa didengari. Dalam barisan kabinet pula, menteri wanita merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan.

Akan tetapi, penganalisis dan aktivis melihat keadaan itu sebagai hikmah yang tersembunyi.

“Ketampakan itu yang penting, dan ia adalah langkah positif di landasan yang betul bagi melihat lebih ramai wanita menerajui kementerian penting sekalipun angkanya jauh daripada sasaran 30 peratus.

“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan tidak pernah diterajui oleh wanita sebelum ini,” kata aktivis hak wanita dan Presiden Family Frontiers, Suriani Kempe.

Katanya, seseorang menteri harus diberikan sokongan sumber dan alat selain kerjasama kakitangan bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Pelantikan wanita mengetuai tiga kementerian penting – Undang-undang dan Reformasi Institusi, Kesihatan, dan Pendidikan – dilihat amat penting memandangkan negara sedang mendepani pelbagai isu membabitkan golongan itu dalam sektor berkenaan, khususnya ketika penularan COVID-19 dan semasa tempoh pemulihan.

Penularan pandemik dan sekatan pergerakan mengetengahkan permasalahan yang dihadapi oleh wanita. Isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia misalnya, semakin terserlah apabila ramai ibu bagaikan dipaksa memilih di antara anak mereka dan keluarga di Malaysia apabila sempadan negara ditutup kepada rakyat asing.

Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru dilantik sebagai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, sudahpun menzahirkan hasratnya untuk menangani isu itu.

Bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pula, majoriti pekerja dalam kedua-dua sektor berkenaan adalah wanita. Namun isu berkaitan mereka tidak begitu diketengahkan berbanding permasalahan golongan lelaki.

Zaireeni yakin, wanita dapat memberikan sentuhan berbeza di kedua-dua kementerian berkenaan.

Keseimbangan

Pada PRU15, gabungan parti politik utama – PH, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menguar-uarkan inisiatif mereka bagi memperkasa dan membantu wanita selain meningkatkan kesetaraan gender.

Menurut pemerhati dan aktivis, sekalipun wanita dilantik mengetuai tiga kementerian penting dalam kerajaan, masih banyak yang perlu dilakukan bagi merealisasikan janji parti terbabit ketika kempen PRU15.

Banyak pihak mencadangkan, pelantikan lebih ramai wanita muda profesional sebagai timbalan menteri dan senator serta di sektor lain seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Jumlah pemimpin wanita dalam sektor ini tidak pernah mencecah 30 peratus.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh juga juga Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, memberitahu Bernama kerajaan baharu ini mempunyai peluang untuk melaksanakan perubahan yang selama ini dilakukan dengan begitu perlahan.

“Sekarang adalah masa untuk semua parti mencalonkan senator wanita agar kita boleh mengimbangi kekurangan (ahli) wanita di Dewan Rakyat,” katanya.

Bagi GLC dan GLIC pula, aktivis mahu kerajaan melantik lebih ramai wanita yang berkaliber bagi memimpin organisasi berkenaan, bukan sekutu politik mereka.

Bagaimanapun, Zaireeni mengakui kemungkinan besar pelantikan yang dibuat tidak akan mencapai sasaran 30 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Ia satu proses yang perlahan, jadi mungkin tidak tercapai dalam tempoh lima tahun ini. Namun, kami harap kita akan dapat melihat lebih ramai wanita di Dewan Negara, kementerian dan juga GLC,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu melihat pelantikan wanita sekadar memenuhi tuntutan – dilantik atas sebab gender bukan kerana kelayakan dan kemampuan wanita berkenaan – kerana tindakan sedemikian tidak akan membantu usaha memperkasa wanita.

Di samping itu, pemerhati juga berkata, kaedah ‘atas ke bawah’, iaitu pelantikan senator wanita bagi menampung kekurangan wakil politik wanita, tidak harus dijadikan penyelesaian jangka panjang.

Sebaliknya, mereka berharap kaedah itu akan membuka jalan kepada lebih ramai kaum hawa terbabit dalam politik selepas membuktikan mereka adalah pemimpin berkaliber dan memenangi pilihan raya atas merit sendiri. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *