December 18, 2024

Majalah antarabangsa terkemuka, Time mengumumkan bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, sebagai Ikon Tahun 2022 tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri perfileman.

Melalui hantaran dikongsi di Instagram (IG) majalah itu, Time mengumumkan pemilihan aktres berasal dari Ipoh, Perak itu dibuat atas pencapaian Yeoh yang dianggap bintang paling berpengaruh di Asia sejak berdekad-dekad lamanya.

Kapsyen pada hantaran itu memperakui Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong melalui penampilan dalam rangkaian filem yang turut memperlihatkan keberanian aktres itu melakukan aksi lagak ngeri.

Entri itu turut menyebut penampilan sulung Yeoh dalam filem terbitan Hollywood apabila membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 diikuti naskhah besar lain seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Crazy Rich Asians dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

Hantaran dimuat naik Time pada Instagram (IG) yang mengumumkan Yeoh sebagai Ikon Tahun 2022 tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri filem. Foto IG Time
Hantaran dimuat naik Time pada Instagram (IG) yang mengumumkan Yeoh sebagai Ikon Tahun 2022 tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri filem. Foto IG Time
Namun, menurut Time, filem ‘box office’, Everything Everywhere All at Once ditayangkan Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, meletakkan bintang itu dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

Penampilan Yeoh dalam filem ‘indie’ arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu dianggap detik yang sudah lama dinantikan di mana nama bintang itu menjadi sebutan ramai, malah ramai percaya Yeoh bakal menggenggam trofi Oscar melalui watak dibawanya dalam filem terbabit.

Hantaran itu memetik temubual Yeoh bersama @lucyfeld yang antara lain, aktres itu memberitahu:

“Saya ada memikirkannya. Bukan saya sahaja, saya fikir seluruh komuniti Asia turut memikirkannya. Mereka datang kepada saya dan beritahu, kamu melakukan ini untuk kami.”

Entri dimuat naik Time di IG itu turut dikongsi Yeoh yang mengucapkan terima kasih kepada majalah itu dan mengakui dirinya diberkati atas pengiktirafan diberi.

Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu, menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Karier seni Yeoh bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun pada 1983. Yeoh kemudian mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK).

Selepas itu, Yeoh dilaporkan menyertai pertandingan Miss International Tourism Quest dan muncul pemenang, lantas membuka laluan kepada dunia lakonan apabila terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan hingga menarik perhatian penerbit filem Hong Kong, D&B Films.

Antara filem lain lakonan Yeoh adalah Memoirs of a Geisha yang ditayangkan pada 2005, Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011) di mana Yeoh membawa watak Aung San Suu Kyi.

Selain Everything Everywhere All at Once, tahun ini, Yeoh membintangi filem The School Of Good And Evil, Minions : The Rise Of Gru, Paws Of Fury : The Legend Of Hank dan Avatar : The Way Of Water.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *