RIYADH – Seorang jurugambar berjaya merakamkan imej gunung berbentuk seekor ikan gergasi yang muncul di padang pasir di bandar daerah Al-Ula, Arab Saudi, lapor CNN.
Khaled Al Enazi merakamkan imej luar biasa itu semasa menggunakan drone yang meninjau khazanah arkeologi di daerah tersebut.
“Semasa saya sedang mendokumentasikan kawasan itu, tiba-tiba pemandangan gunung muncul di hadapan saya yang bentuknya mirip ikan berenang separuh badan di padang pasir,” katanya kepada CNN.
Khaled berkata, dia mungkin bukan orang pertama menemui perbentukan batu itu, tetapi percaya ia perspekstif dari sudut berbeza pandangan udara bahawa yakin dengan bentuk ikan tersebut.
“Mata jurugambar melihat apa yang orang lain tidak nampak,” katanya sambil menamakan ia sebagai ‘Ikan Gurun’
Sejak imejnya dikongsi, Khaled terpaksa menafikan imaginatif pengguna media sosial bahawa bentuk tersebut adalah tinggalan binatang laut gergasi.
“Beberapa pengguna media sosial menyatakan ia seekor ikan sebenar yang pupus beberapa juta tahun lalu, tapi sebenarnya ia adalah batu pasir yang dibentuk banyak faktor,” tambahnya.
Video ‘Ikan Gurun’ telah dikongsi dalam Twitter pada Julai lalu telah mencecah 29,000 tontonan. – Agensi