December 18, 2024

Dari awal beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke 9, YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri telah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa penyatuan antara rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah tunjang kepada corak pentadbirannya.

Keluarga Malaysia, itulah konsep jelas kerajaan pimpinannya bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil. Tiada sebuah kerajaan di dunia mampu menguruskan kebajikan rakyat di dalam keadaan huru-hara.

PM Ismail Sabri berjaya mengeluarkan negara dari krisis politik yang bercelaru dengan mengenepikan ego seorang Perdana Menteri. Bukan semua pemimpin nombor satu negara yang sanggup dan mampu lakukan apa sahaja demi kemakmuran rakyat dan negara terjaga. PM Ismail Sabri sanggup duduk semeja dengan barisan kepimpinan pembangkang untuk bekerjasama memulihkan negara dari kesan pandemik covid 19 yang melanda seluruh dunia.

Inilah titik tolak di mana parti pembangkang mula mengkagumi batang tubuh PM Ismail Sabri. Sehingga kini, parti pembangkang seperti kehilangan arah untuk mencari kelemahan PM Ismail Sabri untuk dijadikan modal serangan mereka bagi melemahkan UMNO BN di mata rakyat.

Adakah ahli UMNO masih tidak nampak ‘produk’ kepimpinan yang ada di depan mata?

UMNO sudah pun ada bukti ‘produk’ yang mudah dan laris untuk ditawarkan sebagai pemimpin utama parti yang mampu memimpin negara kepada pengundi. Adakah ahli UMNO melihat sebaliknya?

Jika pihak lawan begitu menghormati beliau, kenapa barisan kepimpinan dan ahli UMNO menilai sebaliknya? Kepimpinan PM Ismail Sabri memimpin negara telah terbukti ketika berhadapan dengan saat getir pandemik covid19. Tidak keterlaluan, rekod menunjukkan prestasi Malaysia keluar dari zon bahaya pandemik membunuh tersebut mengatasi negara jiran termasuk negara yang lebih moden dan maju dari kita seperti UK dan China.

Ini semua adalah kerana keberanian PM Ismail Sabri untuk mengajak kesemua pemimpin termasuk dari parti pembangkang supaya bersama beliau untuk pastikan Malaysia berjaya keluar dari permasalahan besar ini.

Kejayaan ini sepatutnya diterjemahkan kepada partinya sendiri iaitu UMNO. Jika PM Ismail Sabri mampu membawa pemimpin dari parti lawan duduk semeja, apakah mustahil baginya menyatukan ‘kabilah-kabilah’ yang ada di dalam partinya sendiri?

Umum mengetahui di dalam UMNO sememangnya wujud puak-puak tertentu. ‘Warlord’ yang menguasai dari peringkat bahagian dan perlu dibawa ke meja rundingan demi sebuah penyatuan sekiranya UMNO BN inginkan kemenangan di pilihanraya umum akan datang.

Watak penyatuan yang ada pada diri PM Ismail Sabri pastinya akan memberi kekuatan kepada UMNO BN dari dipecahkan oleh kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

Ahli UMNO inginkan pemimpin yang boleh mengawal keseluruhan perjalanan parti atau pemimpin yang senang dikawal oleh kumpulan musang berbulu ayam?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *