Saifuddin Nasution Ismail yang tewas dalam pemilihan PKR bagi jawatan timbalan presiden, kembali dilantik sebagai setiausaha agung parti itu.
Selain itu, Nurul Izzah Anwar juga sah dilantik sebagai naib presiden.
Ia merupakan antara beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dipengerusikan presidennya, Anwar Ibrahim malam ini.
Pengumuman dibuat Anwar dalam sidang media selepas mesyuarat.
“Kita adakan mesyuarat pertama dalam tempoh yang singkat setelah selesai kongres Ahad lalu.
“Kita bincang banyak perkara…bermula dengan menyusun barisan kepimpinan baru selain yang telah diberi mandat dalam pemilihan parti yang diumumkan di kongres,” kata Anwar.
Berkenaan naib presiden lantikan, Anwar berkata Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini dilantik bagi mewakili Sabah dan Sarawak.
“Untuk jawatan setiausaha agung, Saifuddin pula diminta untuk meneruskan tugas ini,” katanya lagi.
Berikut adalah lantikan yang dipersetujui dalam mesyuarat MPP:
Naib Presiden:
Nurul Izzah Anwar
Saraswathy Kandasamy
Awang Husaini Sahari
Bendahari: William Leong
Ketua Penerangan: Fahmi Fadzil
Ketua Setiausaha Pengelola: Zahir Hassan
Ahli MPP:
G Manivanan
Cristina Liew
Rodziah Ismail
R Yuneswaran
Abun Sui Anyit
Dalam pada itu, Anwar berkata PKR akan menyusun perwakilan untuk mesyuarat MPP PH yang akan bermesyuarat Selasa minggu depan.
“Setiap parti akan diwakili lima orang termasuk Ketua Wanita (Fadhlina Sidek) dan Ketua AMK (Adam Adli Abd Halim), saya, Rafizi Ramli, (naib presiden) Chang Lih Kang, Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution,” katanya.