December 18, 2024
Maka gugurlah (keanggotannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura

Anggota parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS berkuat kuasa semalam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata jawatan itu terbatal kerana jawatankuasa pusat PAS membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.

“Dan nak jadi setiausaha Majlis Syura kena jadi ahli Majlis Syura. 

“Maka gugurlah (keanggotannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura,” kata Hadi kepada pemberita di Marang, Terengganu sebentar tadi.ADS

Katanya, keputusan itu berkuat kuasa semalam, susulan keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat sehari sebelumnya, atas alasan masalah disiplin.

Justeru, kata Hadi, Khairuddin kini hanya seorang anggota biasa PAS.

Bulan lepas Khairuddin dipecat sebagai anggota jawatankuasa pusat PAS, tidak sampai dua bulan selepas dilantik.

Dia antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai pimpinan PAS yang lebih cenderung terhadap kerjasama politik dengan Umno berbanding Bersatu.

PAS setakat ini mahu menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti. Tetapi untuk dua pilihan raya negeri – Melaka dan Johor – Umno dilihat semakin menjauh setelah  berkerat rotan berpatah arang dengan Bersatu.

Jangan melampau, akibatnya buruk – Khairuddin 

Sementara itu, dalam hantaran terbarunya sebelum Hadi mengumumkan penggugurannya sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama, Khairuddin menyatakan bahawa dia tidak akan berdiam diri.

Kata Khairuddin jika sebelum ini dia mengambil pendirian untuk tidak membalas apa-apa kenyataan namun tidak untuk kali ini.  

“Jangan dimalukan seseorang secara berulang. Sekali mungkin dia berdiam dan bersabar.

“Tapi tidak selamanya dia akan berdiam diri bila maruah dicemar dan diceroboh secara berulang. Setiap perkara itu ada batasannya.

“Jangan melampaui batas kerana akibatnya sangat buruk,” katanya tanpa merujuk secara khusus.

Malaysiakini sudah menghubungi Khairuddin dan sedang menunggu maklum balasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *